Table of Contents
Cinta hati pasti merindui kita bila kita berjauhan. Begitulah kisah Nabi Adam AS dan Siti Hawa, ketika diutus ke bumi, mereka terpisah di muka bumi selama ratusan tahun dan bertemu kembali.
Ya, cinta jarak jauh memang sukar, tetapi adakah anda pasti pasangan anda setia atau tidak? Apa yang perlu anda lakukan?
Cinta jarak jauh memerlukan kesabaran yang tinggi, di mana kita tidak tahu apa yang akan kita hadapi. Namun, kepercayaan menjadi fokus utama dalam mengeratkan kasih sayang antara dua insan walaupun jaraknya beribu batu.
Namun, segelintir orang juga beranggapan hubungan cinta jarak jauh hanyalah membuang masa kerana ia tidak akan bertahan lama.
Alasan biasa yang sering kita dengar ialah pasangan mudah curang kerana jarang berjumpa.
Oleh itu, ramai memilih untuk membina hubungan kasih sayang dengan pasangan yang sentiasa bersama dalam susah dan senang.
Bagaimanapun, alasan itu tidak boleh dipakai lagi kerana zaman sudah berubah dan sepatutnya kita lebih terbuka dalam hal ini. Semuanya tertakluk kepada keteguhan hati. Bercinta dengan jiran depan rumah sekalipun belum boleh tentu menjamin kesetiaannya.
Tahukah anda cinta jarak jauh menjadikan sesuatu perhubungan lebih matang? Ini kerana anda akan lebih menghormati pasangan dan mendidik diri anda untuk setia dan mempercayai antara satu sama lain. Malah, perasaan cinta dan rindu turut tumbuh dan menjadikan hubungan itu semakin erat.
Berikut ini beberapa sebab mengapa hubungan cinta jarak jauh lebih menyeronokkan. Siapa tahu, mungkin anda tertarik dengan pasangan yang tinggal berjauhan dan ada sebab untuk dipertimbangkan.
1 Bersikap Lebih Matang
Bercinta jarak jauh menjadikan sikap anda lebih matang daripada usia sebenar. Perkara ini terbukti jika anda berasa tidak perlu berjumpa setiap hari dan hanya bertanya khabar menerusi aplikasi WhatsApp dan sebagainya.
Walaupun ia ibarat mengambil risiko, faktor hubungan jarak jauh menyebabkan keretakan sudah tidak relevan lagi.
Sebenarnya, cukup hanya bertanya khabar dan meluahkan rasa rindu. Sesetengah pasangan bercinta yang bertemu setiap hari juga sering memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Itu menunjukkan hubungan mungkin tidak kekal lama kerana masih bersifat kebudak-budakan dan tiada kepercayaan terhadap pasangan masing-masing.
Lebih baik fokus kepada kerjaya dan persiapkan diri menerima kelebihan dan kekurangan pasangan yang bakal meniti alam rumah tangga bersama anda nanti.
2 Jarang Bergaduh
Apabila jarang bertemu, secara automatiknya anda jarang bergaduh atau tidak akan bertelagah. Hubungan lebih harmoni dan bahagia menghadapi hari-hari yang mendatang tanpa masalah remeh ini.
Malah jika pasangan anda berlaku curang, anda tidak akan tahu kecuali ada ‘pengintip’ yang melaporkan rutin pasangan anda setiap hari.
Namun lebih baik anda setia dan menghargai pasangan kerana sekali ditangkap berlaku curang, anda akan ditinggalkan tanpa belas kasihan.
Sifat perempuan, sangat pantang ditipu dan jangan gunakan alasan ikut sunah Rasulullah berpoligami. Ukur baju di badan sendiri, jika hati seorang isteri pun tidak mampu dijaga, bagaimana hendak membahagiakan tiga lagi hati?
3 Sabar dan Kuat
Memang benar bercinta jarak jauh bukan perkara yang mudah. Kita perlu mendidik diri agar sentiasa sabar dan kuat.
Ini kerana anda akan rasa keseorangan setiap kali melihat pasangan lain keluar bersama, namun itulah yang dikatakan ujian bercinta jarak jauh sekali gus menjadikan anda individu kuat dalam menghadapi apa jua cabaran.
Tanpa anda sedari, anda sangat beruntung kerana tidak banyak masa untuk melakukan aktiviti kegemaran selain dapat menjimatkan wang.
Jika anda keluar bersama pasangan sudah tentulah perlu keluarkan sedikit wang untuk makan dan tiket wayang!
4 Lebih Mengenali Hati Budi
Percaya atau tidak, apabila jarang bertemu bukan rasa rindu saja yang kian menebal malah anda semakin mengenali peribadi pasangan.
Setiap kali berjumpa pasti banyak topik yang hendak dikongsi dan teruja untuk ‘menggali’ lebih banyak perihal masing-masing.
Oleh itu, kurangkan berhubung dengan pasangan anda melalui media sosial atau telefon dan biarkan masa yang sesuai menemukan anda berdua.
Cipta ruang privasi untuk anda dan pasangan, pasti hubungan lebih bermakna.
Daripada tip yang dikongsikan, adakah anda akan pertimbangkan untuk menjalinkan hubungan percintaan jarak jauh? Mungkin perlu cuba untuk sekali seumur hidup!