Apple Store pertama di Malaysia telah dibuka secara rasmi di The Exchange TRX. Kedai ini membolehkan pengguna tempatan membeli pelbagai barangan Apple dan menikmati pengalaman penuh, termasuk mempelajari perkara baru melalui program Today at Apple.
Menariknya, sempena pembukaan kedai fizikal pertama Apple ini, mereka memberikan beg jinjing edisi khas dengan tulisan “JOM” secara percuma.
Seperti produk Apple lain, beg edisi terhad ini telah mula dijual semula oleh pengguna awal yang menghadiri acara pembukaannya.
Beg tote ini diedarkan kepada pengunjung awal bagi memperingati pembukaan kedai pertama Malaysia di pusat beli-belah The Exchange TRX di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu (22 Jun).
Dijual semula harga sehingga mencecah RM10,000
Bagaimanapun, beg jinjing ini dijual semula di beberapa platform seperti Facebook Marketplace dan Carousell. Kebanyakan beg ini dijual pada harga sekitar RM300, namun ada juga penyenaraian yang menjualnya sehingga RM10,000.


Sama ada beg tote ini benar-benar ada pembeli masih belum diketahui, terutamanya memandangkan harga yang diminta agak tinggi.
Apapun, dinasihatkan semua agar berhati-hati dengan scammer online.

Memandangkan ia masih baru, harga beg ini mungkin akan terus meningkat dalam beberapa bulan atau tahun akan datang, selepas kuantitinya berkurangan di pasaran.