Gamer Mobile Legend Bang Bang (MLBB) yang mewakili Yoodo Selangor Red Giants (SRG), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahru, atau lebih dikenali sebagai Sekyss, berkongsi perancangannya selepas beliau dan pasukan menjadi juara dunia bagi kejohanan MLBB MSC 2024, memetik laman Astro Awani.
Sekyss yang turut dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP) dalam aksi Grand Final, bersyukur dengan kejayaan yang diraih pasukannya dalam kejohanan tersebut.
Dalam sesi perbualan bersama Era, Sekyss berkongsi perancangannya untuk menyimpan hadiah kemenangan tersebut dalam simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Saya akan simpan dalam ASB dulu, mungkin dah lama sikit saya nak beli rumah,” ujarnya.
Pada aksi Grand Final yang berlangsung di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi, SRG bermula dengan langkah kiri apabila tewas perlawanan pertama dengan keputusan 23 ‘kills’ berbalas 16.
Bagaimanapun skuad Malaysia itu kembali bangkit pada perlawanan kedua dengan mempamerkan aksi yang kemas untuk menyamakan kedudukan 1-1 meskipun lawannya AP Bren berjaya mendahului dengan jumlah ‘kills’ 14-11.
Momentum yang diraih anak buah jurulatih Michael Angelo Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia itu gagal diteruskan pada perlawanan ketiga sekali gus menyaksikan mereka tewas 6-22 dalam aksi yang membolehkan AP Bren selesa memimpin perlawanan.
SRG kemudiannya kembali mendapat rentak apabila memenangi perlawanan keempat dan kelima masing-masing dengan keputusan 18-4 dan 12-11.
Ketika hanya satu mata sahaja diperlukan SRG untuk mengesahkan kejuaraan MSC, juara bertahan dari Filipina itu berjaya menyamakan kedudukan apabila memenangi perlawanan keenam dengan keputusan 14-2 sekali gus mengheret SRG ke perlawanan penentuan.
Pada perlawanan penentuan, SRG seolah-olah tidak memberi peluang kepada AP Bren apabila mendominasi perlawanan dan momentum itu diteruskan untuk mengetepikan pasukan lawan 21-10 sekali gus mengesahkan kejuaraan MSC buat kali pertama.
Pada perlawanan akhir itu, pemain jungler SRG, Sekyss, dinobatkan sebagai pemain paling bernilai MSC MLBB 2024.
Kemenangan itu menyaksikan SRG membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah AS$1,000,000 (RM4,669,303.78).