Lebih 10 tahun tinggal di rumah sendiri, akhirnya sepasang suami isteri di Britain menemui harta karun berupa syiling emas bernilai lebih £250,000 (RM1.3 juta) di bawah lantai dapur mereka. Penemuan ini dilaporkan oleh akhbar BBC pada 8 Oktober 2022.
Pasangan tersebut, yang memilih untuk tidak dikenali, menemui 264 keping syiling emas yang tertanam di bawah papan lantai rumah mereka di Kampung Ellerby, North Yorkshire.
Ketika itu, mereka sedang mengubah suai lantai dapur rumah dan terjumpa syiling berusia 400 tahun itu dalam sebuah tin logam yang tertimbus di dalam lantai konkrit setebal 15 sentimeter.
Pada mulanya, mereka hanya menemui beberapa kabel elektrik biasa di bawah lantai rumah yang telah dihuni selama lebih 10 tahun. Namun, setelah mengangkat lantai, mereka terkejut mendapati sebuah cawan tin yang diisi dengan syiling berharga.
Beberapa syiling emas tersebut bertarikh dari tahun 1610 hingga 1727, ketika pemerintahan Raja James I, Charles I, dan George I. Pasangan itu kemudian memutuskan untuk mendapatkan pendapat ahli profesional mengenai penemuan tersebut dan menghubungi firma lelongan Spink & Son di London. Seorang pakar dari firma itu segera datang ke rumah mereka untuk melihat koleksi tersebut.

Analisis oleh pegawai yang melawat rumah pasangan itu menunjukkan bahawa syiling-syiling tersebut milik keluarga saudagar kaya dari bandar Hull, Fernley-Maisters. Keluarga ini adalah pengimport dan pengeksport kayu balak, arang batu, dan bijih besi, dan generasi terkemudian mereka pernah berkhidmat sebagai anggota Parlimen pada awal 1700-an.
“Ia adalah satu penemuan yang sangat mengejutkan. Penemuan lebih 260 syiling ini juga merupakan salah satu yang terbesar dalam rekod arkeologi dari Britain,” kata Gregory Edmund, seorang pakar yang sangat teruja melihat koleksi itu.