Atlet Indonesia yang berjaya membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik 2024 di Paris terima ganjaran lumayan berupa bonus wang tunai sebanyak Rp6 bilion Rupiah, bersamaan dengan RM1.6 juta.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Dito Ariotedjo, ketika menyambut kepulangan atlet negara itu dari Paris.
Menurut Dito, ganjaran ini adalah arahan langsung daripada Presiden Joko Widodo sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap atlet yang telah mengharumkan nama Indonesia di persada dunia.
“Presiden Jokowi telah mengarahkan agar pemenang pingat emas diberikan ganjaran Rp6 bilion, manakala atlet yang meraih pingat gangsa akan menerima Rp1.6 bilion (RM450,000).
Selain itu, jurulatih kepada atlet yang memenangi pingat emas juga akan menerima bonus sebanyak Rp2.75 bilion (RM770,000),” kata Dito.
Bagi jurulatih yang melatih atlet yang meraih pingat gangsa, mereka juga tidak dilupakan dan akan menerima Rp675 juta (RM190,000).
Dito turut menekankan bahawa atlet yang tidak membawa pulang sebarang pingat tidak akan diabaikan.
Kerajaan telah menyediakan ganjaran untuk mereka sebagai tanda penghargaan dan komitmen terhadap usaha mereka dalam temasya Olimpik ini.
“Walaupun mereka tidak memperoleh pingat, kami tetap menghargai usaha mereka dan kerajaan akan memberikan bonus sebagai tanda penghargaan. Kami akan mengumumkan jumlah bonus tersebut tidak lama lagi,” tambahnya.
Sebelum ini, atlet Indonesia yang meraih pingat emas dalam kejohanan lain telah menerima bonus sebanyak Rp5.5 bilion.
Namun, untuk Olimpik kali ini, kerajaan telah meningkatkan jumlah ganjaran bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa para atlet.
Indonesia berjaya memperoleh dua pingat emas di Olimpik Paris 2024, melalui Veddriq Leonardo dalam acara memanjat dan Rizki Juniansyah dalam acara angkat berat lelaki kategori 73kg.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, tetapi juga memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian mereka dalam arena sukan.