Baby Shima telah meluahkan rasa ketidakpuasan hati di Instagram, menegur seorang pendakwah bebas yang meminta orang ramai berhenti mengecam Da’i Syed.
Dalam hantaran instagram tersebut, Baby Shima memuat naik tangkap layar artikel mengenai Da’i Fuad yang meminta orang ramai untuk mengasihani isteri dan anak Da’i Syed, sambil menegaskan bahawa ini adalah ujian buat mereka juga.
Menurut Baby Shima, tindakan Da’i Fuad memihak kepada Da’i Syed walaupun telah disabitkan kesalahan adalah tidak adil.
“Kenapa tak ada surat terbuka buat mangsa rogol dan perogol? Kalau saya, bukan main buat konten,” katanya, menunjukkan rasa kecewa terhadap sikap pendakwah tersebut yang dianggap hanya bersikap berat sebelah.
Baby Shima juga mengkritik pendakwah tersebut kerana hanya menegur selebriti-selebriti lain dan tidak memberikan reaksi yang sama terhadap kes Da’i Syed.
“Kena puak sendiri, pandai pula suruh netizen diam. Bila puak dia buat hal, semua senyap sunyi masuk dalam gua,” jelasnya, menegaskan ketidakpuasan hati terhadap tindakan pendakwah yang tidak konsisten dalam memberikan teguran.
Untuk rekod, Da’i Syed baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan merogol seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu.
Da’i Syed yang mendirikan rumah tangga dengan Hana pada 3 Disember 2022, baru-baru ini dikurniakan seorang cahaya mata bernama Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada 14 Ogos lalu.