Pendakwah selebriti, Da’i Fuad, baru-baru ini menafikan dakwaan penyanyi Baby Shima yang menuduh agamawan seperti dirinya memilih kasih dalam memberi teguran kepada rakan sesama pendakwah.
Baby Shima mendakwa bahawa pendakwah hanya menegur orang luar tetapi berdiam diri apabila rakan mereka sendiri yang melakukan kesalahan.
Menjawab tuduhan tersebut, Da’i Fuad melalui perkongsian di Instagramnya menjelaskan bahawa dia telah beberapa kali menegur Da’i Syed, dan malah menunjukkan bukti mesej perbualan mereka sebagai respons kepada kritikan tersebut.
“Baby Shima mengkritik saya, katanya agamawan ini kalau kawan-kawan dia buat salah semuanya mendiamkan diri. Tapi kalau orang lain buat salah, mereka serang membuta tuli,” tulis Fuad dalam hantaran tersebut.
Fuad menegaskan bahawa isu melibatkan Da’i Syed bukanlah perkara baru, malah telah berlaku banyak kali.
Dia dan rakan-rakan pendakwah lain tidak berdiam diri, tetapi memilih untuk tidak berkongsi semua teguran yang diberikan kepada Da’i Syed bagi mengelakkan timbulnya fitnah terhadap agama.
“Saya dah tegur Da’i Syed banyak kali, termasuk tentang gaya rambutnya yang tidak sesuai sebagai seorang pendakwah dan video menari bersama isterinya. Saya tak kongsikan semua perkara kerana tak mahu ia menjadi fitnah,” jelasnya lagi.
Fuad turut menekankan bahawa tegurannya bukanlah kerana peribadi atau memilih kasih, tetapi lebih kepada memastikan imej seorang pendakwah selari dengan tuntutan agama.
Dia juga bersyukur kerana Da’i Syed menerima teguran tersebut dan tidak lagi memuat naik video tarian bersama isterinya di media sosial.
Selain itu, Fuad turut menegaskan bahawa isteri dan anak Da’i Syed tidak sepatutnya dipersalahkan atas kesalahan yang dilakukan oleh Da’i Syed sendiri.
“Saya konsisten bahawa kesalahan ini tidak harus diletakkan kepada isteri dan anaknya. Yang salah dan yang buat jenayah adalah dia (Syed). Saya juga menyeru kepada semua mangsa agar terus mara ke hadapan untuk suarakan hak anda dan kena ada keberanian,” tambahnya.