Isteri pertama Abang Tesla, Nurmajdina Jamari, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Maj, telah berkongsi cabaran dalam usahanya mendapatkan zuriat melalui rawatan Persenyawaan in vitro (IVF).
Dia mendedahkan telah membelanjakan lebih daripada RM30,000 untuk menjalani rawatan tersebut, namun usaha itu masih belum membuahkan hasil yang diharapkan.
Memetik siaran langsung di TikTok, Kak Maj berkongsi bahawa dia telah menjalani rawatan IVF sebanyak dua kali. Malangnya, kedua-dua percubaannya tidak berjaya.

“Kos rawatan memang mahal, saya dah buat dua kali pembedahan untuk pemindahan embrio. Kosnya lebih RM30,000. Kali pertama tak berjaya, kali kedua menjadi, tapi tak lama,” jelasnya.
Perjalanan mendapatkan zuriat bukanlah mudah bagi Kak Maj. Dalam perkongsiannya, dia meluahkan betapa sukarnya melalui tempoh enam tahun sebagai “pejuang garis dua”, istilah yang sering digunakan bagi mereka yang berusaha mendapatkan anak melalui rawatan kesuburan.
Perjalanan yang penuh cabaran ini membuatkan ramai warganet bersimpati dan memberi sokongan moral kepadanya.
Pengorbanan Abang Tesla
Tidak hanya Kak Maj, Abang Tesla juga memainkan peranannya dalam usaha mendapatkan zuriat. Melalui Insta Story, Abang Tesla menjelaskan bahawa dia telah mengeluarkan lebih daripada RM50,000 untuk rawatan IVF tersebut, membetulkan jumlah yang disebut oleh Kak Maj sebelum ini.
Dedikasinya menunjukkan betapa serius mereka dalam usaha ini, walaupun hasilnya belum memihak kepada mereka.
Luahan Hati Setelah Dicemuh
Kak Maj turut meluahkan rasa kecewa di Insta Story miliknya setelah dihina dengan pelbagai kata-kata negatif, termasuklah tuduhan mandul, selepas madunya selamat melahirkan anak pertama.
Walaupun sudah mencuba yang terbaik, termasuk pernah mengalami keguguran, dia tetap tabah dalam menghadapi semua cabaran ini. Ramai yang terus menyokong dan memberi kata-kata semangat kepadanya.