Dua beradik Malaysia, Abdurrahman Ahmad Mu’az dan Heba Nusaybah, baru-baru ini berjaya dalam pertandingan memanah berkuda di Perancis.
Apa yang menarik, mereka menyertai kejohanan ini dengan membiayai sendiri kos perjalanan mereka melalui hasil jualan kuih raya dan sumbangan keluarga.
Ibu mereka, Fathim Ridayu, berkata dia dan anak-anaknya terpaksa menggunakan dana sendiri.
“Kami bertiga pergi, saya jadi ‘manager’ dan ‘coach’. Datuk dan nenek sumbang sikit, dan kami jual kuih raya untuk kumpul duit,” jelas Fathim.
Kos di Perancis sangat tinggi, jadi mereka perlu berjimat.
“Kami naik bas dari Paris ke Limoges, kemudian kereta api dari Limoges ke Bellac. Jaraknya jauh, macam Kuala Lumpur ke Perlis. Kami bawa makanan siap sedia dari Malaysia untuk berjimat,” tambahnya di TikTok.
Mereka juga dikenakan bayaran €40 sehari seorang (sekitar RM200), tetapi mereka berjimat.
Walaupun begitu, pengalaman ini sangat berharga bagi mereka.
@fathimridayu Replying to @Ady ♬ original sound – FathimRidayu
Dalam kejohanan tersebut, Abdurrahman Ahmad Mu’az menang juara kategori bawah 14 tahun, manakala Heba Nusaybah menjadi naib juara kategori bawah 12 tahun.
Pertandingan ini berlangsung di Gauchoux, Perancis dari 21 hingga 23 Ogos lalu, dengan lebih 110 peserta dari 16 negara.
Kejayaan dua beradik ini adalah satu pencapaian yang membanggakan, menunjukkan dedikasi dan usaha keras mereka dalam sukan memanah berkuda.