Mulai 1 Ogos 2025, dunia penerbangan Malaysia akan diterajui gabungan dua nama besar: MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) dan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia). Sebenarnya, memang selama ni ditadbir oleh kedua-dua entiti ni, tapi penyatuan dua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia adalah satu langkah untuk menambahbaik semua proses dalam industri penerbangan Malaysia.
Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa digabung? Tak cukup ke dua-dua tu jalan sendiri? Dan kenapa Kementerian kata ini langkah ke depan?

MAVCOM? CAAM?
Sebelum ini, MAVCOM jaga bab lesen syarikat penerbangan, pengguna, dan urusan komersial. Kalau ada masalah pampasan penerbangan, MAVCOM adalah tempat untuk kita hantar aduan dan mereka akan semak satu persatu. Yang kita selalu dengar, MAVCOM akan denda syarikat-syarikat dalam industri seperti AirAsia, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Malaysia Airlines dengan nilai beratus ribu hingga juta ringgit.
CAAM pula urus hal teknikal — dari keselamatan penerbangan, pengurusan ruang udara, sampai ke lesen juruterbang. CAAM juga berfungsi sebagai badan utama yang menjaga pematuhan industri penerbangan negara kita kepada piawaian antarabangsa (ICAO).
Tapi lama-lama, makin banyak kerja bertindih, proses lambat, dan pemain industri pening nak rujuk siapa. Maka timbul cadangan untuk menggabungkan dua agensi ini sebagai satu jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
MAVCOM dianggarkan akan selesai diserap oleh CAAM sepenuhnya pada 1 Ogos 2025. Masa ni MAVCOM dibubarkan dan fungsinya diserap masuk ke dalam CAAM. Kakitangan MAVCOM tidak dibuang kerja. Mereka diserap ke CAAM, bawa masuk pengalaman dan kepakaran mereka.
Ada bahagian khas dalam CAAM yang kekal fokus pada hak pengguna dan urusan komersial — bukan setakat urus kapal terbang je. Jadi hak pengguna khidmat penerbangan masih akan terjaga, sebagaimana MAVCOM sebelum ini.

Impak Penggabungan CAAM dan MAVCOM
- Pemain industri seperti syarikat penerbangan, syarikat pembuatan kapal terbang, syarikat lapangan terbang tidak perlu lagi berurusan dengan dua badan berbeza, jimat masa.
- Kurang birokrasi tapi fungsi lebih efisien dengan pembuatan polisi yang lebih menyeluruh dan lengkap.
- Kos kerajaan berkurang, Anthony Loke menjangkakan penjimatan RM150 – 200 juta setiap tahun sebagai kesan penggabungan ini.
Ada juga kata, ini akan buat Malaysia lebih kompetitif di peringkat ASEAN dan memastikan negara kita selaras dengan piawaian ICAO. Kalau ikutkan kebanyakan pandangan industri, ini langkah yang bijak dan perlu. Tapi, macam biasa, yang penting pelaksanaan. Kalau CAAM boleh jaga semua fungsi lama dengan cekap termasuk dengar masalah pengguna, maka penggabungan ni memang win-win untuk semua.
Kita tunggu dan lihat — tapi setakat ni, nampaknya penerbangan Malaysia menuju ke arah yang lebih efisien dan tersusun.