Istilah “doxxing” mungkin tidak asing lagi dalam era digital sekarang ni. Dulu kita panggil gangguan siber atau buli siber, tapi sekarang ni, perbuatan doxxing telah diisytiharkan sebagai satu kesalahan jenayah di Malaysia. Berkuat kuasa mulai 11 Julai 2025, tindakan undang-undang yang lebih tegas akan menanti sesiapa yang terlibat dalam aktiviti ini, menandakan satu langkah penting dalam melindungi privasi individu dalam talian.
Doxxing ni apa dia sebenarnya?
Senangcite, doxxing ni perbuatan mendedahkan maklumat peribadi seseorang secara terbuka di platform internet tanpa kebenaran mereka. Motif di sebalik tindakan ini lazimnya adalah untuk mengancam, memalukan, atau mengganggu kehidupan mangsa. Situasi di mana alamat kediaman, nombor telefon, atau butiran tempat kerja kita tersebar luas tanpa izin boleh menimbulkan kebimbangan dan ketidakselesaan yang serius.

Antara maklumat peribadi yang sering disebarkan termasuk:
- Alamat fizikal (rumah, pejabat)
- Maklumat pekerjaan (nama syarikat, jawatan)
- Nombor telefon peribadi
- Nombor pengenalan diri atau pasport
- Butiran akaun bank atau kad kredit
- Komunikasi peribadi (mesej, e-mel)
- Imej atau video peribadi yang sensitif
Undang-undang baharu, untuk melindungi hak privasi kita
Sebelum ini, penguatkuasaan terhadap kes-kes doxxing sering berdepan cabaran disebabkan ketiadaan peruntukan undang-undang yang spesifik. Selalunya disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Kanun Keseksaan sedia ada, tapi tafsiran peruntukan tersebut kadangkala tidak mencukupi untuk menangani kes-kes doxxing.
Dengan pindaan kepada Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, satu kerangka undang-undang yang lebih komprehensif telah diperkenalkan untuk memerangi buli, termasuk buli siber seperti doxxing. Doxxing kini diklasifikasikan sebagai jenayah serius, di mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun. Inisiatif ini dijangka dapat menyediakan laluan yang lebih jelas dan adil bagi mangsa doxxing untuk mendapatkan keadilan.
Dengan undang-undang baharu ini, masa depan privasi dalam talian kita nampak lebih selamat.
Privasi itu hak, doxxing itu jenayah.

Sumber: Berita RTM