Baru-baru ini, cadangan pembinaan sebuah masjid dengan reka bentuk bercirikan seni bina Cina telah mendapat perhatian ramai. Ramai netizen telah berkongsi gambar-gambar masjid ini di laman media sosial terutamanya TikTok.
Masjid ini, yang dikenali sebagai Masjid Jamek Cina Muslim Klang, merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Jabatan Kerja Raya Selangor, MACMA, dan beberapa agensi lain sejak 20 Disember 2017.

Persatuan Cina Muslim Malaysia atau Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) adalah sebuah NGO yang didaftarkan pada 8 September 1994.

Cadangan pembinaan masjid ini telah dipersembahkan kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 28 November 2018 di Istana Bukit Kayangan. Baginda memperkenankan pembinaan masjid ini pada 7 Mei 2019, bersamaan 2 Ramadan 1440H. Terletak di Bandar Botanik, Klang, Selangor.

Masjid ini meliputi kawasan seluas 2.98 ekar dan mampu menampung sehingga 1,000 jemaah. Ia adalah satu-satunya masjid di Selangor yang menampilkan seni bina Cina.
Reka bentuk masjid ini berasaskan paksi pusat dengan pembahagian ruang yang jelas dan penggunaan ‘courtyard’. Masjid ini mempunyai satu menara yang unik bercirikan seni bina Cina, dewan solat dengan bumbung jubin tradisional Cina, dan kawasan taman yang boleh dijadikan ruang solat tambahan.
Unsur kayu digunakan dalam ruang solat utama, dan tulisan kaligrafi gaya Cina menghiasi ruang mihrab. Selain itu, masjid ini juga akan dilengkapi dengan perpustakaan, bilik-bilik kuliah, pejabat pengurusan, bilik imam, bilik persinggahan, kedai cenderamata, dan restoran.

Kos pembinaan masjid ini dianggarkan sebanyak RM30 juta, termasuk sebuah bangunan empat tingkat untuk kuarters imam dan lain-lain kemudahan.
Pembinaan masjid ini akan dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya Selangor. Kerajaan Selangor akan membiayai sebahagian kos pembinaan, manakala selebihnya akan dibiayai oleh MACMA melalui kutipan dan sumbangan orang ramai.

Masjid Jamek Cina Muslim Klang bukan sahaja menambah keunikan seni bina di Selangor tetapi juga menjadi simbol perpaduan dan integrasi budaya dalam masyarakat.
Dengan keindahan seni bina dan pelbagai kemudahan yang disediakan, masjid ini dijangka menjadi tarikan utama bagi penduduk setempat dan juga pelancong dari luar.