Sebut nama penyanyi Bruno Mars pasti ramai yang suka akan lagu-lagu nyanyiannya. Lagu-lagu Bruno Mars kerap juga didendangkan di radio untuk peminat-peminat beliau di negara ini.
Konsert Bruno Mars di Kuala Lumpur dijadualkan pada 17 September 2024. Namun, kehadirannya kini mendapat tentangan kuat dari pelbagai pihak.
Dalam satu kenyataan rasmi sebelum ini, BDS Malaysia menegaskan bahawa Bruno Mars merupakan penyokong tegar rejim apartheid Israel.
Sementara itu, Aizat Amdan juga menyatakan bahawa dia tidak akan ‘menutup mata’ selain merasakan tiada keperluan buatnya untuk menyokong produk mahupun mana-mana individu yang terlibat dengan Israel.
Aizat Amdan berkata dia enggan menonton konsert penyanyi Amerika Syarikat itu yang bakal berlangsung. Ini kerana dia enggan berkompromi dengan penghibur yang pro-Israel.
Walau bagaimanapun, Aizat tidak menghakimi mana-mana individu yang menonton konsert tersebut kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri berhubung isu Palestin, memetik temubualnya dengan Kosmo!
Setakat ini, memetik pengumuman yang dibuat oleh Live Nation Malaysia, sebanyak 85,000 tiket untuk konsert Bruno Mars di Kuala Lumpur sudah terjual.
Untuk makluman, konflik antara Palestin dan Israel masih lagi belum berakhir sejak Oktober lalu. Malah, akibat daripada peperangan itu banyak nyawa yang sudah terkorban.
Konflik ini membuatkan masyarakat di seluruh dunia memboikot mana-mana produk mahupun selebriti yang secara terang-terangan menyokong rejim Zionis.