Pada 2 Julai lalu, media sosial heboh dengan berita penahanan seorang pelawak terkenal dan isterinya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pelawak yang dimaksudkan adalah Mohd Noor Murad, atau lebih dikenali sebagai Mamat Sepah.
Mamat dan isterinya, Nordiana Ibrahim, ditahan reman pada 1 Julai atas dakwaan menyebarkan maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melalui aplikasi Telegram.
Penahanan ini sekaligus menjawab teka-teki orang ramai mengenai pelawak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, Mamat mengakui bahawa dia adalah pelawak yang ditahan polis.
“Ya, memang saya yang ditahan reman berhubung kes tular beberapa hari sebelum ini. Alhamdulillah, keadaan saya baik-baik sahaja. Saya dan isteri telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya seperti yang dipetik oleh mStar.
Mamat juga menyatakan bahawa sepanjang tempoh penahanan, mereka dilayan dengan baik oleh pihak polis.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut dan meminta agar peguamnya yang memberi kenyataan berkaitan undang-undang.
Peguam Mamat, Muhammad Fadhli M. Sutris, mengesahkan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan polis. Beliau juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan.