Inara Rusli, bekas isteri penyanyi Virgoun, kini bersedia untuk memberitahu anak-anak mereka mengenai kebenaran tentang kes penyalahgunaan dadah yang melibatkan bekas suaminya.
“Lambat laun mereka akan tahu juga, jadi saya ikut nasihat seorang ustaz untuk ceritakan saja perkara sebenar,” kata Inara.
Menurut laporan mStar, Inara merasakan anak-anak mereka berhak tahu mengenai situasi sebenar walaupun pahit untuk diterima. Dia percaya bahawa menyembunyikan kebenaran hanya akan mengecewakan mereka nanti, memandangkan Virgoun adalah ‘hero’ di mata mereka.
“Saya tak mahu emosi anak-anak terganggu, jadi saya pilih untuk ceritakan sehalus mungkin supaya mereka faham,” tambah Inara.
Dalam usaha untuk membantu anak-anak memahami dan menerima kenyataan, Inara merancang untuk membawa anak sulungnya, Starla, melawat Virgoun yang kini sedang ditahan reman.
“Belum sempat menjenguk Virgoun, tapi saya cuba cari waktu yang sesuai untuk melawat dia dengan Starla sekali. Semoga urusan untuk beritahu Starla dipermudahkan,” ujarnya.
Virgoun ditahan pada 20 Jun lalu bersama seorang wanita di sebuah rumah sewa di Ampera, Jakarta Selatan. Polis merampas dadah jenis syabu dan alatan menghisap ketika serbuan.
Virgoun dan Inara berkahwin pada 2014, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan tahun lalu selepas Virgoun berlaku curang. Mereka mempunyai tiga orang anak: Starla Rhea Idola Virgoun, Faithlee As-Sya’ir Virgoun, dan Terang Sharique Virgoun.