Media sosial kecoh sejak kelmarin selepas mayat Nur Farah Kartini, yang hilang sejak Rabu lepas, dijumpai di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar pasukan penyelam dari Unit Forensik ke lokasi penemuan mayat Farah Kartini hari ini.
Mereka ditugaskan untuk mencari telefon pintar milik mangsa di kawasan parit air di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, mengesahkan operasi pencarian itu.
Polis perlu mendapatkan telefon pintar mangsa kerana ia merupakan bukti yang sangat penting untuk membantu siasatan.
Pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik PDRM berjaya menemui sebuah telefon pintar yang dipercayai milik Nur Farah Kartini dalam tali air di jalan Sri Kledang, Felda Gedangsa hari ini.
Telefon tersebut ditemui pada jam 12.21 tengahari selepas hampir sejam pencarian dilakukan di sekitar tali air berkenaan.