Baru-baru ini, dalam satu wawancara podcast, pelawak dan usahawan, Shuib mengaku pernah ketagih bermain judi sewaktu mudanya. Pengakuan ini mendapat kritikan dan teguran daripada orang ramai.
Menerusi hantaran seorang pengguna di laman X, individu tersebut berpendapat Shuib, atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, tidak sepatutnya mendedahkan perkara yang dianggap aib kepada umum.
Pada awalnya, individu tersebut menyangka Shuib hanya bergurau. Namun, dia terkejut mengetahui bahawa pelawak berusia 40 tahun itu benar-benar pernah bermain judi.
“Elok-elok orang ramai tak tahu, sekarang dah tahu yang dia pernah ‘main mesin’. Ingatkan dia buat lawak, rupanya betul. Sepatutnya benda aib ni tak perlu diceritakan atau dikongsikan, lagi-lagi secara umum macam ni,” tegur individu tersebut.
Dalam podcast tersebut, Shuib mengakui ketagih permainan judi sehingga sanggup membayar RM150 untuk satu pusingan. “Banyak duit dah aku habiskan untuk permainan itu dan aku pernah ‘bet’ RM150 ‘per spin’. Dalam satu minit, permainan itu boleh main tiga atau empat ‘spin’. Jadi, bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam satu minit,” kongsinya.
Ketagihan tersebut menyebabkan Shuib kerugian puluhan ribu ringgit. Dia juga pernah dikepung oleh beberapa orang ‘gangster’ selepas memenangi RM68,000 ketika menjalani penggambaran sebuah filem di Ipoh pada tahun 2013.
“Masa itu aku menang RM68,000. Tiba-tiba tuan kedai tak nak bagi duit itu. Dia panggil beberapa orang gangster ke kedai, ada dalam enam orang. Mereka panggil aku dan Shuk ke bilik belakang dan terus tanya kenapa aku main mesin,” cerita Shuib.
“Saya cakap ini kali terakhir saya main judi dan memang saya dah berhenti lepas itu,” ujarnya.
Shuib berpesan kepada orang ramai untuk tidak terjebak dengan permainan haram tersebut kerana ia akan memudaratkan kehidupan di masa akan datang. “Perbezaan dia MashaAllah, Allah nak bagi. Kadang-kadang kau rasa berjudi tu puas, bila menang kau gempak. Tapi kehidupan kau masih susah. Bila aku berhenti, duit bukan saja boleh simpan, malah makin banyak,” nasihatnya.