Siapa sangka, pulau Isla Nublar dari filem Jurassic Park sebenarnya ada di dunia nyata dan tidak jauh pun dari Malaysia!
Pulau yang mirip dengan Isla Nublar ini adalah Pulau Mules, terletak di Manggarai, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia.
Pulau Mules, juga dikenali sebagai Nuca Molas oleh penduduk tempatan, terletak di luar pantai selatan Pulau Flores.
Walaupun tidak sepopular destinasi lain di Indonesia, keindahan pulau ini semakin mendapat perhatian selepas video rakaman udara yang menakjubkan dikongsi oleh seorang juruterbang bernama Wibisono Notodirdjo pada Ogos 2024.
Pemandangan Memukau Seperti Filem Jurassic Park
Dalam video tersebut, Pulau Mules kelihatan seperti diambil terus dari filem Jurassic Park, dengan padang rumput yang luas dan gunung-ganang di tengahnya. Tidak hairanlah, video ini dengan cepat menjadi tular dan menarik minat ramai orang terhadap permata tersembunyi Indonesia ini.
Walaupun Pulau Mules bukanlah destinasi pelancongan yang terkenal, ia masih boleh diakses oleh pengunjung yang ingin merasai suasana ‘Jurassic Park’ yang sebenar.
Pulau ini berada di bawah pemerintahan Desa Nuca Molas di Kabupaten Manggarai dan menawarkan pengalaman alam semula jadi yang tidak dapat dilupakan.
Pesona Alam dan Kehidupan Pulau Mules
Pulau Mules bukan sahaja menawarkan pemandangan yang indah, tetapi juga kekayaan flora dan fauna yang luar biasa. Pulau ini menjadi rumah kepada pelbagai spesies seperti penyu, burung, ikan lumba-lumba, dan gugusan karang yang menakjubkan.
Pantai-pantainya juga menawarkan pelbagai aktiviti seperti snorkeling, selam skuba, dan luncur ombak, menjadikannya destinasi ideal bagi pencinta alam dan sukan air.
Pengunjung juga berpeluang untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan yang ramah dan mempelajari cara hidup mereka.
Majoriti penduduk Pulau Mules beragama Islam, berbeza dengan penduduk Flores yang kebanyakannya beragama Katolik.
Keunikan budaya dan kehidupan seharian mereka menjadikan lawatan ke pulau ini pengalaman yang berharga.
Mudah diakses dan diterokai
Untuk sampai ke Pulau Mules, pengunjung boleh menaiki perahu kecil dari Pantai Dintor di Ruteng, Manggarai. Perjalanan hanya mengambil masa 30 hingga 35 minit.
Dengan keindahan yang seakan-akan pulau fiksyen Isla Nublar, Pulau Mules adalah syurga tersembunyi yang menanti untuk diterokai.