M. Suria, anak kepada mangsa tanah runtuh di Jalan Masjid India meluahkan rasa kecewa kerana ibunya, Vijayaletchumy tidak sempat melihat tatu nama yang dibuat khas untuknya.
Dalam keadaan sedih, Suria, 25, berkata tatu itu dicacah di lengan kirinya semasa bercuti ke Thailand baru-baru ini.
“Ibu segalanya untuk saya, apa jua saya lakukan semua untuknya… sebab itu bila saya cacah tatu di tangan ini, nama beliau adalah pertama yang terlintas di fikiran saya” kata Suria.
“Tapi saya tak sangka ini yang terjadi… Saya tak sempat tunjuk betapa sayangnya saya pada ibu”.
Dia turut meluahkan rasa sedih kerana tidak sempat menunjukkan betapa dia menyayangi ibunya sebelum kejadian tragis itu berlaku.
Kali terakhir Suria bercakap dengan ibunya ialah pada pagi hari kejadian.
“Pagi sebelum ibu saya jatuh, dia menghubungi saya, tetapi telefon bimbit saya kehabisan bateri, jadi saya tidak dapat bercakap dengannya,” katanya.

Kejadian menimpa ibunya berusia 48 tahun itu hanya diketahui selepas kakak iparnya memberitahunya pagi Jumaat lalu.
Suria segera meninggalkan Thailand menuju ke Kuala Lumpur menempuh jarak 476 kilometer dengan kos RM600 melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di Kedah.
Dia sekeluarga berharap jenazah ibunya dapat ditemui untuk dikebumikan di kampung mereka di Kuppam, Andhra, India.
“Saya tidak mahu ibu menderita, sudah lima hari kejadian itu berlaku dan kami sudah reda,” katanya.
Sementara itu, Suria sekeluarga sering berada di lokasi kejadian bagi mengikuti perkembangan pencarian.
Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah licin di Jalan Masjid India.
Dia berada di Malaysia bersama keluarganya untuk melancong dan dalam perjalanan ke kuil sebelum kejadian.