Seorang ibu di China yang bernama Deng pada awalnya mahu mengajar anaknya erti susah mencari duit dengan menyuruhnya berniaga.
Tapi, rancangan itu tak berjalan seperti yang diharapkan.
Remaja 17 tahun itu, yang hanya berniaga ayam goreng di tepi jalan, berjaya meraih pendapatan sebanyak RM6,000 (10,000 Yuan) dalam masa 10 hari sahaja!
Niat Ajar Anak Susah Cari Duit
Deng terpaksa mengambil langkah ini kerana prestasi belajar anaknya mula merosot.
Anaknya pernah berkata bahawa dia rasa belajar tidak bermakna dan malah mahu berhenti sekolah.
Jadi, Deng, yang juga seorang peniaga ayam goreng selama tiga tahun, memutuskan untuk tunjuk pada anaknya betapa susahnya nak cari duit kalau tak belajar bersungguh-sungguh.
Deng bantu anaknya memulakan perniagaan dengan ubah suai sebuah basikal elektrik jadi gerai bergerak.
Namun, apa yang mengejutkan Deng, anaknya berjaya buat untung besar dalam masa yang sangat singkat!
Anak Semakin Bersemangat Dengan Bisnes
Sejak mula berniaga, anaknya makin rajin dan bersemangat. Dia bangun seawal 9 pagi untuk siapkan bahan dan kemudian mengayuh basikal sejauh 13 kilometer ke tapak perniagaan.
Dia mula berniaga pada pukul 4 petang dan hanya pulang ke rumah sekitar 3 pagi.
Melihat kejayaan itu, anaknya semakin tekad untuk berhenti sekolah dan fokus sepenuhnya pada perniagaan ayam goreng.
Malah, dia juga merancang untuk beli beca elektrik bagi mengembangkan perniagaan.
Ibu Hormati Keputusan Anak
Walaupun Deng pada awalnya cuba memujuk anaknya untuk teruskan sekolah, akhirnya dia terpaksa menghormati keputusan anaknya.
Apatah lagi, dia sedar dialah yang mula membawa anaknya ke dunia perniagaan ini.
Kini, anaknya berjaya berdikari dan telah pun merancang masa depannya sebagai peniaga.